Friday, February 20, 2009

Cerita TENTANG AKU

Cerita Tentang Aku.
ADEGAN (1)

AKU YANG PASRAH

Kelihatan seorang gadis terdampar di atas lantai. Longlai.

“Masih terdamparku di sini
Tiada jalan mungkinku lalui
Haruskah hidupku dipersenda
Mengharungi dugaan melanda
Ku berserah..”

Lampu perlahan-lahan gelap.




ADEGAN (2)

AKU DAN FAMILY POTRAIT


Gadis duduk di kerusi di tengah pentas.

Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang boleh dikatakan sempurna. Aku ada abah, ada mak, abang dan aku juga ada adik macam keluarga orang lain. Status kehidupan keluargaku kalau nak dibandingkan dengan mana-mana keluarga yang ada…aku rasa sama saja…tak terlalu kaya dan tak juga terlalu miskin. Kalau orang ada satu mak, aku ada tiga mak sebab bapak aku tiga kali kahwin…fuyoo!! hebatkan bapak aku (ketawa) mak aku yang pertama ialah mak kandung aku, dia…dia tinggalkan aku masa aku kecil lagi (sebak) aku tak pernah melihat wajah mak aku tu. Tapi yang pasti dia tentu cantik macam aku (tersengih) ishk kalau tak cantik masa kan bapak aku tu nak kahwin dengan dia.

Aku rasa jiwa aku sengsara apabila hati aku aku bertanya kenapa mak kandung aku, mak yang mengandungkan aku dan melahirkan aku sanggup membuang aku. Kenapa? (menangis) aku tahu, aku sedar sebab semasa aku kecil dulu, aku cacat! Buruk! Ya betul. Aku tak tipu, masa tu aku tak boleh bercakap, kaki aku pengkah, kulit aku merekah-rekah (membuat gaya) kerana itu dia tak boleh menerima aku!.. tapi itu dulu! Itu dulu hahaha…(ketawa puas) aku akhirnya sembuh seperti yang semua orang lihat sekarang.( bergerak bebas seperti menari riang).


Lampu sorot malap dan gelap



ADEGAN (3)

MAK TIRIKU YANG GILA

(Duduk di hujung pentas) Lepas mak aku pergi, tinggal lah aku dengan bapak aku berdua. Kehidupan kami tetap bahagia walaupun tanpa mak. Nak dijadikan cerita, tak lama selepas itu bapak aku yang bekerja sebagai pegawai kerajaan telah diarahkan untuk berpindah ke sabah. Kami pun berhijrahlah ke negeri di Bawah Bayu. Kehidupan kami di sabah tidaklah sesibuk di Semenanjung. Di Sabah, suasananya lebih tenang, udaranya segar, masyarakatnya semua ramah..dan sumandak-sumandaknya pun lawa-lawa! Bapak aku pernah berjanji untuk tidak berkahwin lagi..tapi kalau dasar jantan kalau dah kemaruk nak…(terhenti). Bapak aku apa lagi, kahwin lagilah!! Kali ni dia kahwin dengan orang Sabah. Maka bermulalah episod kehidupan aku dipelihara oleh ibu susuan aku yang aku anggap biul ni (ketawa).

Mak aku yang nombor dua ni dia adalah pakar…pakar dalam bab kait-mengait benang. Semua alas meja, alas kerusi, lapik tv di rumah tu, hah! Dialah yang punya kerja. Dia juga suka buat kek. Ada kek warna coklat, ada warna oren warna hijau, merah jambu, warna pelangi pun ada. Nampak macam sedapkan…tapi cubalah rasa…sama je rasa semua kek tu..

Mesti kalian semua hairan mengapa aku menganggapnya gila. (sinis) Selama aku hidup di dunia ni tak pernah sekalipun…tak pernah walau sekalipun! Aku mendengar dari mulut mak aku yang munggil itu menyebut atau memanggil aku dengan panggilan anak…dan yang paling menyakitkan aku tak pernah merasa macamana kasih sayang sebenar seorang ibu (sedih). Aku tak pernah berkesempatan untuk bersalam dan mencium tangan mak tiri aku. Tak pernah! Aku teringin sangat-sangat nak mencium tangan mak Aku teringin sangat nak memeluk emak aku, aku ingin merasakan kehangatan tubuh mak pada pipi dan tubuhku, mendengar irama degupan jantungnya perlahan di telingaku yang pasti mententeramkan jiwaku, merasa helaan hangat nafasnya diubun-ubun rambutku…tapi..aku tak pernah merasa semua itu!! Tak pernah!! (sebak). Emak… aku rindukan pelukanmu, mak!!! (menjerit & menangis)

Nak dijadikan cerita nasib mak tiri aku tu kurang baik. Tiba-tiba aje dia jadi kurang siuman. Orang cakap dia terkena buatan orang...Entahlah..? aku cuba sedaya upaya aku untuk memahami keadaan mak. Aku cuba untuk tidak menyalahkan mak aku. Aku himpunkan pelbagai alasan dan kemungkinan…mak aku mungkin…tertekan barangkali atau kurang sihat atau terganggu…

ya sebab aku masih ingat dulu semasa aku berumur 14 tahun. Bapak pernah membawa mak aku berubat cara kampung. Tak banyak yang aku tahu tapi yang pasti memang seram sejuk juga aku bila mendengar ketawanya.

‘Eh! apa korang buat ni? Haha..(ketawa) oo.. ingat aku ni sakit? Gila? Kena sampuk? Aku tak sakitlah?...ishk! apa ni..jangan pegang akulah. Aku terajang nanti (marah) oiii…apa yang kau merepek ni hah! Korang ni gilakah?! Apa yang kau baca tu..bencilah aku dengar!! Pergi!...lepas!!..’

Lepas berubat tu mak aku kelihatan ok tapi tak lama. Selepas beberapa hari, penyakit sewel mak aku tu datang balik. Dia mula marah-marah…dan akulah tempat dia melepaskan kemarahannya. Pelbagai kemungkinan dan alasan cuba aku fikirkan agar kekusutan fikiran aku tu dapat aku uraikan…Hanya dengan alasan ini sahajalah yang dapat membuatkan aku bersabar dan mengubat perasaan kecewa aku ini. Aku tak mahu menyalahkan mak seratus peratus…mak, aku sedia memaafkan mak walau apa pun..haha..yake?(sinis)

(Bangun dengan pantas dan menuju ke tengah pentas) Sebenarnya aku benci, aku benci sangat keluarga aku! Mak bapak aku tak pernah ajar aku kenal tuhan, jauh sekali sembahyang dan mengaji.. Sebab itulah aku jadi macam ni! (marah & sedih) Orang selalu mengutuk, mengata keluarga kami ni macam..macam..macam-macamlah.. mak aku tu tak tau jaga anaklah, bapak aku tu kaki perempuan, abang aku tu penagih dadahlah!... tau sebab apa? Sebab keluarga kami kecoh, asyik bergaduh, bertekak. Ada sahaja yang tak kena pada kami adik beradik. Tak apalah nak cakap apa pun, cakaplah, sebab telinga aku ni dah lali, dah terbiasa dengan hinaan makian!! tapi satu…satu yang aku tak boleh terima bila orang cakap mak aku gila! Mak aku nak gila ke, nak sewel ke, dia tetap mak aku…

Bapak aku ni lagi satu, asyik bergaduh dengan mak aku. Setiap hari aku dapat tengok sepak terajang di rumah tu. Kalau tak bapak, mak yang kena, kalau tak mak..ini yang sial ni… mesti aku atau adik akulah yang kena! Itulah sebabnya aku sering menjauhi bapak aku, akhirnya mak dan bapak aku bercerai…bapak aku bercerai untuk kali yang kedua!! (marah & menangis)

















ADEGAN (4)

AYAHKU TAK SERIK-SERIK…MENYUSAHKAN!



(Buat gaya dan aksi seorang penyanyi 60an) “Ayahku kahwin lagi..dengan si dara jelita…” (menyanyi sambil mengejek) Aku benci!! Aku benci bapak aku sebab selepas bercerai aku ingatkan dia akan insaf. Kalau dah dasar jantan buaya tembaga, tetaplah buaya! Dia berkahwin lagi!!! Dasar jantan! Pantang nampak perempuan dahi licin..mulalah nak miang! Masuk kali ni tiga kali bapak aku kahwin..dan kami akhirnya dapatlah mak baru. Aku ingatkan hidup aku akan bertambah baik dan aku akan mendapat kasih sayang seorang mak, tapi langit yang mendung memang dah pasti akan hujan siap rebut petir lagi!!!! hidup aku menjadi bertambah sengsara..

Dan mak aku yang ketiga ni pula perangainya…(berfikir) macam hantu!...macam setan!.. Kalau Iblis lakhnatullah tu tengok, pasti dia pun tabiklah!…Dia selalu menyusahkan aku adik beradik! (marah)..yang celakanya lagi… dia ni setiap kali bergaduh dengan bapak aku pasti dia mengugut nak lari dari rumah (masukkan dialog emak bercakap nak lari dari rumah)…tapi yang hairannya..dia tak juga lari-lari..ada juga muka beruk dia tu di rumah kami…ishk! Mampos lagi baguslah dia tu!! (berang) …tulah kahwin lagi banyak-banyak.. ada ramai mak pun, macam takda mak…



ADEGAN (5)

MALANG YANG BERLALANG.

‘celaka punya budak berapa puluh kali aku cakap jangan makan makanan aku…kurang ajar!! Korang ingat semua harta ni korang yang punya…’ (sambil menendang, memukul)

‘mak, ampun mak… kami lapar mak…tolonglah.. sakit! Sakit!...’ (sambil melakukan aksi mengelak dipukul dan kesakitan)

Aku semakin kerap dipukul oleh mak tiri aku. Bapa aku tak pernah kisah tentang kami adik-beradik..sedikit pun dia tak ambil pusing pasal perangai mak tiri aku tu. Mak tiri aku tu memang layak digelar pengikut setn yang baik!! Dia pandai berpura-pura. Depan bapak aku, tangan dia lembut mengusap kepala aku dengan adik-adik aku..belakang bapak aku tangan lembutnya bertukar menjadi tukul besi yang mampu memecahkan batu granit yang keras! Kenapa mak benci sangat dengan aku? Kenapa mak asyik menyumpah aku? Memaki aku? Mungkin…mungkin mak marah sebab aku tak dengar cakap dia. Kalau dua tiga kali mungkin tak apalah…tapi aku mendengar makiannya hampir setiap hari, selama bertahun-tahun!

‘hei kau ni sial betullah! Kenapalah kau hidup?! Kenapa kecik-kecik dulu kau tak mati je hah!’ tulah ayat keramat yang sering mak aku gunakan kepada aku. Mak aku selalu mendoakan aku agar mati cepat…hina sangatkah aku ni? Sampai hati mak cakap macam tu pada aku (sebak) mak tak sedarkah kata-kata mak itu satu doa? Kenapa mak sanggup mendoakan aku cepat mati? Kenapa? Adakah mati adalah jawapan kepada kesengsaraan…Semua persoalan itu tak dapat aku jawab, Aku cuma menyimpannya jauh di dalam hati ni…tak apa mak! Tak apa! Makilah! Hamunlah selagi aku hidup…



ADEGAN (6)

BERSERAH

Akulah satu-satunya anak ayah aku yang dapat masuk ke Universiti. Tapi..bapak aku tak pernah bangga dengan aku. Mak aku? Huh..jangan harap! Terus terang aku cakap aku sebenarnya cemburu sangat melihat kawan-kawan aku yang riang bersama keluarga mereka. Setiap kali cuti semester, semua kawan-kawan aku akan pulang ke rumah masing-masing untuk bersama dengan keluarga..Aku tidak..Pelbagai alasan yang cuba aku bangkitkan kepada bapak aku.Aah..apa-apa sahajalah!!asalkan aku tak balik ke rumah celaka tu…tapi sampai bila? Untuk alasan apa lagi untuk aku teruskan hidup aku ni? Aku tak mahu balik rumah…! Tekanan semakin kerap menyinggah dalam hidupku. Aku adalah manusia, bukan binatang atau barang yang boleh dihentak ke dinding, dipukul dan disiram dengan air panas… aku manusia, ada hati dan perasaan. Hidup aku tak ubah seperti di dalam neraka. Aku benci takdir ini, aku benci hidup aku, aku benci segalanya…tapi aku tak mampu membenci mak dan bapa sekalipun mereka mengajar erti derita dalam kamus hidupku…dan aku sangat berterima kasih kepada semua penderitaan yang pernah aku rasa dalam hidup ni..Biarlah aku relakan segala-galanya. Aku berserah…..

PONDOK BIRU


Sebuah cerpen pendek hasil tangan dan pemikiran aku..khas buat yang berjiwa ‘mengerti’ sebuah rasa manusia sekeliling kita..


PONDOK BIRU.


Aku masih duduk bersimpuh di dalam kamarku selepas selesai membacakan talkin. Dari jauh aku dapat melihat sinaran mentari yang menyimbah kelihatan seperti jutaan jarum yang menghujani bumi. Aku membaca semula surat usang yang diberikan oleh Chi-chi. Tanganku bergetar-getar membuka perut surat itu. Kandungan surat yang kuterima lima tahun dulu memberi khabar yang benar-benar menyentap jantungku.

Perasan murung mula menyelimuti wajahku saat mataku membaca surat itu. Satu persatu bait ayat kubaca dan sesekali aku menarik nafas dan mengeluh sendirian. Tanpa sedar airmataku mula bertakung ditabir mata. Dengan pandangan yang berbalam aku mengesat manik-manik jernih yang turun.

Keadaan di gereja St.Peter sesak kerana dikerumuni oleh pelajar dan guru-guru SMK ST.Dominic yang menghadiri majlis pengebumian arwah Jhonstone.Aku juga datang tetapi langkahku terhenti sebaik sahaja sampai di hadapan pintu gerbang gereja. Aku mematikan niatku untuk memasuki tempat itu. Chi-chi yang menemaniku sejak tadi mengajak aku duduk ditempat teduh.

Nafas bumi pada petang itu berhembus cukup lembut dan tenang. Setenang Jhonstone menghembuskan nafasnya. Sesungguhnya hari itu,merupakan hari yang paling sedih dalam hidupku. Aku bukan bersedih diatas pemergiannya, tapi hatiku benar-benar sakit kerana terpaksa memendam perasaanku buat selama-lamanya. Perasaan yang kurasa ini akan terkubur selamanya bersama Jhonstone tanpa terluah.
Hari ini aku kehilangan orang yang amat kusayangi buat selamanya.Tarikh 4 November 2004 tarikh Jhonstone pergi meninggalkan aku kerana mengalami barah hati. Aku tidak akan melupakan tarikh ini kerana tarikh ini merupakan tarikh kelahiranku. Kini tarikh ini menjadi tarikh kematian baginya. Siapa sangka kami akan berkongsi tarikh ulang tahun bersama tapi atas dua sebab berlainan. Ulang tahun kelahiran dan kematian.

Segalanya pasti akan berbeza sekarang. Disebabkan tarikh inilah aku tidak pernah menyambut ulang tahun kelahiranku setiap tahun. Aku faham jika tiada siapa yang tidak mengetahuinya. Aku juga tidak pernah sekali menyalahkan takdir, cuma kadang-kadang aku terasa seperti sangat luka di dalam hati bila mengingati tarikh 4 November ini.

Aku mengikuti kawan-kawan yang lain ke tanah perkuburan Kristian untuk menghantar jenazah Jhonstone.Chi-chi melarang keras aku pergi ke tanah perkuburan orang bukan muslim tetapi aku tidak dapat menahan hatiku sendiri. Aku ingin melihat jenazahnya di kebumikan dengan mataku sendiri dan aku ingin mengetahui di mana tempat dia disemadikan.

Di tanah perkuburan itu, aku dapat melihat sendiri bagaimana tubuh Jhonstone yang kaku dimasukkan ke dalam liang lahad hinggalah dia ditimbus. Apabila melihat semua itu, seluruh tubuhku menjadi lemah dan akhirnya aku terjelepok. Aku cuba sedaya upaya menahan air mataku semahunya agar tidak jatuh membasahi pipiku dan tumpah ke pusaranya.
Dia belum sempat menanyakan aku, adakah aku menyintainya dirinya? Dia belum sempat membisikkan perasaannya kepadaku selama ini seperti janjinya. Dia belum mengetahui apa yang terbuku di hatiku selama ini. Betapa aku menyayanginya setulus hati. Betapa aku menyintai dia sedalam-dalam hatiku. Dan lebih memedihkan hatiku dia belum sempat memeluk agama Islam seperti yang dia inginkan selama ini.

“Doakan saya mudah-mudahan dapat memeluk agama Islam secepat mungkin ya...” Suara Jhonstone tersekat-sekat. Masih terngiang-ngiang suaranya di telingaku. Aku memang tidak dapat melupakannya sampai bila-bila pun.
“InsyaAllah, kalau niat kita ikhlas Tuhan akan kabulkan.” Balasku sambil melemparkan senyuman bermakna ke arahnya.
“Saya harap keluarga saya dapat menerima keputusan saya.Saya cuma risau tak sempat….” Kata-katanya terputus begitu sahaja.
“Kenapa cakap macam tu?” Aku menduga kerana ragu. Dia hanya mengelengkan kepalanya. Kami kemudian saling berpandangan. Gelagat kami yang serentak mengundang ketawa kecil darinya. Aku pula cuba menahan senyumku lalu tunduk. Kami berbalas pandangan dan senyuman kemudian meneruskan perjalanan ke kelas masing-masing meninggalkan pondok biru itu. Aku sempat menghantar Jhonstone dengan ekor mataku sehingga dia hilang dari pandanganku.

Rupanya itulah kali terakhir kami dapat duduk bersama di pondok biru sebelum aku berpindah ke Kota Kinabalu dan dia pula pergi meninggalkan aku selamanya. Aku masih ingat lagi kali pertama kami bertembung secara tidak sengaja di pondok biru itu.
Seawal jam 10.30 pagi aku akan dihantar ke sekolah lebih awal berbanding pelajar sekolah petang yang lain oleh pemandu bas sekolahku. Aku kemudiannya akan duduk menunggu di pondok biru itu seperti biasa sehingga tamat sesi sekolah pagi kemudian masuk ke kelas 3B. Tapi pada hari isnin itu, aku bukan lagi orang paling awal datang. Ada pelajar lain yang datang lebih awal dari aku.

Pagi itu, matahari disembunyikan oleh gumpalan awan yang berarak. Suasana terasa begitu tenang kerana angin bertiup lembut dan mendamaikan.Sebaik sahaja aku sampai ke pondok biru, aku duduk di hujung kanan bangku panjang kerana tempat duduk hujung sebelah kiri yang selalu aku duduk telah diambil oleh pelajar itu. Aku kemudiannya meletakkan beg sandang di sebelahku lalu membetulkan rambutku yang ditiup oleh angin.

Angin masih lagi berhembus lembut. Suasana kurasa begitu tenang dan nyaman. Aku memandang langit yang berarak sambil menarik nafasku dalam-dalam. Aku memejam mataku sambil menikmati bunyi angin yang berdesir. SubahannAllah bisikku berulang kali. Aku bersyukur kepada Ilahi kerana DIA mengurniakan angin yang sejuk dan mendamaikan pagi itu. Sebaik sahaja aku membuka mata dan menghela nafasku, mataku tertaut pada sepasang mata. Aku terkejut apabila mata redup itu memandangku. Aku cepat-cepat melarikan mataku ke arah lain.

Aku menjadi gusar kerana diperhatikan oleh sepasang mata redup itu. Hatiku berbisik sendiri jangan-jangan masa aku pejam mata tadi dia tengok? Ah…mungkin perasaan aku saja. Seketika kemudian, hatiku terasa seperti ingin melihat reaksi orang itu lagi. Lalu aku pun mengerling ke arah mata itu semula. Ternyata sinar matanya yang redup itu masih tidak berganjak.

Aku tergamam. Betullah dia merenung aku, detik hatiku dengan sedikit bergetar. Cepat-cepat aku menunduk. Sewaktu aku menunduk, tiba-tiba seekor kucing melintas di hadapan ku kemudian menghampiriku. Kucing itu melentok-lentokkan kepalanya ke arah kakiku. Aku tersenyum lalu mengusap-usap lembut kepala kucing itu kemudian mengangkatnya.

Comelnya…getus hatiku sendiri. Kemudian aku teringat bekal yang kubawa. Aku mengeluarkan sekeping roti sandwich yang berisi ikan tuna lalu memberi kucing itu makan. Kucing itu dengan lahap meratah roti tuna yang kuberi tadi.

Aku simpati melihat kucing itu. Kucing itu kelihatan sangat kelaparan lalu aku memberi sekeping lagi roti tuna kepadanya sambil mengerling kearah mata redup itu untuk melihat sama ada dirinya masih memerhatikan aku atau pun tidak. Ternyata mata redup itu masih lagi tidak berganjak dan masih merenungku.

Hissh…apalah orang ni..pandang aku semacam saja, bisikku. Aku terus memalingkan muka ku ke arah lain. Aku mengeluh sedikit sambil melirik jam di tanganku seketika. Sesekali aku melemparkan pandanganku ke langit berpura-pura tenang. Padahal hatiku menjadi semakin gusar selepas ditenung oleh mata redup itu. Seketika kemudian aku melemparkan semula pandangan ke arah tempat duduk di hadapanku.

Aku terperanjat melihat lelaki itu berdiri. Dia melemparkan senyuman yang mesra ke arahku sambil datang menghampiriku.Ah…jantungku tiba-tiba bergetar.
“Kamu suka kucing?” Tanya lelaki yang bermata redup itu.
“Uh..err..ya….” sambutku teragak-agak.

Suara pelajar-pelajar mengucapkan ‘terima kasih cikgu’ mengejutkan aku. Lamunanku terhenti seketika. Tergesa-gesa aku berdiri mengikut pelajar yang lain berdiri. Tidak lama kemudian bunyi loceng pun bergema menandakan waktu rehat sudah bermula. Aku tersenyum sendirian. Entah kenapa aku teringat pemilik mata redup yang menyapaku pagi tadi. Tiba-tiba Chi-chi menyiku lenganku.

“Haa..senyum-senyum sendiri ni bahaya.” Sindir Chi-chi tersengih-sengih.
“Hei..apa ni...” Balasku tersipu.
“Apa kena kau ni Yo? Dari tadi termenung sampai tak sedar kelas dah habis.” Chi-chi mengangkat keningnya.
“Esh..tak ada apalah...” Sahutku mengelak pertanyaannya.
“Iyalah tu..tadi bukan main tersengih sorang-sorang..” Chi-chi menyiku aku semula sambil tersengih.
“Hmm..tak adalah. Aku cuma teringat kucing yang comel dekat pondok biru tadi..” Balasku acuh tak acuh.
“Hah? kucing?” Soal Chi-chi ragu-ragu. Matanya memandangku penuh sangsi. Kemudian dia tersengih semula sambil menepuk-nepuk bahuku. Aku tersenyum melihat gelagatnya kemudian menggelengkan kepala.
“Hissh..kau ni tengok aku semacam je.Tak ada apa-apalah.” Balasku tenang.
“Siapa dia Yo?” Umpan Chi-chi sekali lagi dengan nada yang nakal.Aku tergelak melihat gayanya meletakkan tangan ke dagu sambil mengangkat kedua keningnya seperti iklan di dalam televisyen.
“Aku tak senang duduk pagi tadi dekat pondok biru,ada orang merenung aku…” kataku separuh berbisik.
“Hah? Siapa? Lelaki atau perempuan?” Soal Chi-chi bersungguh-sungguh.
“Entahlah Chi, aku pun tak kenal..siapa budak lelaki tu. Tak pernah pula aku nampak budak tu sebelum ni.” Beritahuku selamba.
“Oh, budak lelaki rupanya. Mesti dia cutekan..kalau tak,takkanlah sampai tersenyum sendiri dari tadi.” Balas Chi-chi geli hati.

Hatiku tiba-tiba berdebar-debar semula apabila mengenangkan mata redup itu. Memang benar kata Chi-chi orangnya boleh tahan juga. Kalau tidak masakan aku boleh berdebar membalas senyumannya semasa kami bertentang mata. Pelbagai persoalan menerpa di benakku. Sebelum ini aku tidak pernah melihat lelaki itu di sekolah kami. Aku meneka-neka sendiri kemungkinan dia pelajar baru yang baru berpindah di sekolah kami.

Tekaanku tepat apabila aku mendengar pengumuman yang dibuat oleh Pengetua sekolah kami, ada pelajar yang baru berpindah dari Tawau akan di tempatkan di kelas 3A. Aku banyak mendengar cerita dari kawan-kawanku lelaki itu merupakan pelajar terbaik di sekolahnya dulu. Ramai pelajar perempuan mengagumi pelajar baru itu termasuklah pelajar perempuan dari kelasku. Dia menjadi idola pelajar-pelajar perempuan kerana bukan sahaja dia mempunyai personaliti yang menarik malah bijak dari segi akademik.

Pokok-pokok hijau yang bersusun di belakang makmal mengundang damai di hatiku. Aku memandang burung yang berkicau sambil berzikir di dalam hati. Seperti biasa aku akan duduk bersendirian di belakang makmal. Aku lebih suka memanfaatkan masa rehat dengan melukis sendirian tanpa diganggu oleh sesiapa berbanding duduk bersembang dan makan di kantin. Aku membuka buku lukisanku menyambung lakaranku yang tidak siap semalam. Ketenangan yang aku rasai ketika itu cuma sekejap sahaja kerana Chi-chi selalunya akan datang mengganggu.

“Yo, kau tau ramai budak perempuan tergila-gilakan budak baru tu! Dah lah cute, pandai lagi tu..” Puji Chi-chi panjang lebar sambil memberi aku makanan yang dibelinya.
“Biarlah Chi..bukan ada kaitan pun dengan aku pun.Kau ni sibuk cerita hal orang apasal..malas aku dengar” kataku tenang sambil menyiapkan lakaran lukisanku. Makanan yang diberi oleh Chi-chi kuletakkan di tepi.
“Aik? kau ni Yo..macam orang tak ada perasaan. Punyalah cute Jhonstone tu!” Usik Chi-chi sambil mulutnya muncung mengunyah makanan.
“Yalah…aku taulah dia cute..abis tu kau nak aku buat apa?” Aku mengakui kata-kata Chi-chi tapi masih meneruskan lakaranku dengan cermat.
“Kau cubalah tackle dia..manalah tau silap-silap menyangkut kat kau.” Desak Chi-chi.
“Hei..kau gila? Kalau kau suka sangat kat dia kaulah tackle sendiri..Aku tak ada masa buat perkara tak berfaedah tu. Lagi bagus aku melukis ada juga faedah dapat duit bila hantar kat majalah.” Sambutku geli hati.
“Kaulah gila..aku dah ada Leman. Mana boleh cari orang lain!” marah Chi-chi.
“Senang je..kau pasang spare abis cerita.” Aku mengusiknya tersengih-sengih.
“Pandailah kau! Aku nak kenakan kau dengan dia,aku pula yang terkena?” Chi-chi mendengus geram sambil mencubit lenganku. Aku hanya ketawa dan mengelak.

Perpindahan aku ke Kota Kinabalu mengundang kejutan kepada guru-guru dan pelajar lain di sekolahku. Semuanya berlaku terlalu pantas. Perpindahan ini sememangnya bukan kehendak hatiku tetapi atas permintaan keluargaku. Ayahku telah ditukarkan ke Kota Kinabalu atas sebab kenaikkan pangkatnya sebagai Sarjan.Oleh itu, Kami sekeluarga mesti berpindah dengan segera atas urusan rasmi ayahku. Aku benar-benar berat hati meninggalkan sekolah dan kawan-kawanku. Lebih-lebih lagi dia..

“Betulkah?” Chi-chi terpingga-pingga.
“Ya..” jawabku lemah.
“Kau dah jumpa cikgu Azman?” Soal Chi-chi.
“Kejap lagi aku nak pergi bilik guru jumpa dia.” Nadaku mendatar ada rasa sayu namun aku cuba menutupnya dengan berlagak tenang.

Sebaik sahaja selesai urusanku ke sana sini berjumpa dengan guru kelas dan Penolong Kanan HEM meminta cop. Kakiku melangkah longlai menuruni anak tangga, ntah kenapa hatiku sejak dari tadi terasa sedih. Aku memegang erat sampul surat besar yang berisi dokumen berhenti sekolah. Mataku meliar mencari seseorang. Kemudian aku memandang pondok biru di hadapan gelanggang bola keranjang. Terbayang-bayang wajahnya dalam benakku.

Sebelum aku jalan, aku sempat bersalam dengan kawan-kawan sekelasku. Hatiku menjadi sayu melihat suasana kelas yang murung, Semua kawan-kawanku memelukku erat sambil mengucapkan selamat jalan. Saat itu aku hanya tercari-cari wajah Jhonstone dalam keramaian itu.Ah..mana dia? Mana Jhonstone? Suara hatiku asyik memanggil namanya berulang kali.Namun kelibatan bayangnya tetap tidak kelihatan.Waktu itu aku pergi dengan hati yang keliru.Aku terasa seperti ada yang kurang dan masih ada hal yang belum kuselesaikan. Sebelum aku berangkat aku sempat memberitahu Chi-chi menyampaikan pesan kepada Jhonstone.

“Sampaikan salamku untuknya dari hati yang terdalam?” kata Chi-chi mengulangi kata-kataku. Aku mengangguk lemah.
“Kau tak jumpa dia kah?” soal Chi-chi.
“Aku dah cuba cari dia, Tapi tak jumpa pun. Chi aku risau, entah dia tahu ke tak aku nak pindah ni.” Rintihku.

Akhirnya aku pergi tanpa sempat berjumpa dengan dia. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sedihnya aku waktu itu. Walaupun aku sudah berpindah, aku dan Chi-chi tetap berhubung melalui telefon. Aku tidak pernah lupa menanyakan khabar Jhonstone. Namun khabar yang sering kuterima tentangnya dirinya hanyalah mengenai kemurungannya.Chi-chi menjelaskan kepadaku, Jhonstone jarang senyum dan sering duduk bersendirian di pondok biru. Aku risau mendengar khabar Jhonstone. Tiap kali aku duduk sujud dan berdoa aku sering mendoakan kesejahteraannya.

Aku menatap diari usangku. Terlalu banyak benda yang ingin kukatakan kepadanya. Terlalu banyak cerita tentang dirinya yang ingin kukongsi bersama-samanya apabila aku kembali menemuinya suatu hari nanti. Terlalu banyak kenangan kami yang kukongsi ke dalam diari ini. Dalam diam aku sering berdoa agar suatu saat dia bisa mencintai aku seperti mana aku mencintai dia. Aku ingin memberitahunya jantungku berdegup pantas tiap kali mengingatinya. Aku ingin memberitahunya aku sering memanggil namanya di dalam hati. Aku sering memerhatikannya dari jauh sambil tersenyum sendiri betapa aku bahagia melihat dia tersenyum.

Tapi kini segalanya tinggal hanya memori sahaja. Segala luahanku hanya terbuku di dalam diari usang ini. Hari ini aku duduk di pondok biru. Mengenang kembali peristiwa yang terlukis sepanjang perkenalan kami. Di pondok biru inilah dia duduk buat kali yang terakhir sebelum menghembuskan nafasnya. Mendung yang bertandang seperti mengerti kepiluanku. Darah pekat tiba-tiba mengalir perlahan dari hidungku lalu jatuh menitik ke tanganku. Aku hanya melihat tompokan darah itu tanpa berbuat apa-apa. Sambil mengesat airmata aku tersenyum. ”….tak lama lagi aku akan menjejakimu….”


******tamat*****